Syarikat penerbitan RHA Media Sdn. Bhd melalui organisasi medianya, CSR Malaysia, komited melaksanakan insiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menjalin kerjasama bersama-sama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk menjayakan Program Desa Harapan.
Pengarahnya, Michelle Lee berkata, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki CSR Malaysia di dalam lapangan CSR tempatan kelak akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membantu KPLB dalam merealisasikan visi program berkenaan iaitu membawa masyarakat desa menjadi masyarakat maju pada tahun 2025.
“Sebagai rakan strategik kepada Program Desa Harapan, kami melihat kesepakatan hubungan antara kementerian, badan-badan korporat dan penduduk kampung untuk bekerjasama membangunkan sosio ekonomi masyarakat luar bandar adalah sesuatu yang wajar. Kami yakin program ini mampu membawa perubahan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakan Strategik KPLB di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
CSR Malaysia akan menjayakan Program Desa Harapan kelolaan KPLB melalui liputan media bernilai RM300,000 yang akan diguna pakai di pelbagai platform media dalam kumpulan RHA Media sepanjang program tersebut berjalan.