JAKARTA: Selepas dua hari Indonesia berdepan dengan situasi bantahan terhadap keputusan pilihan raya Presiden (Pilpres 2019) yang menyaksikan enam penunjuk perasaan terbunuh selain kerosakan yang besar, kerajaan negara itu kini mempertimbangkan untuk menyekat fungsi laman media sosial termasuk Facebook dan Whatsapp buat sementara waktu.
Jelas Menteri Penyelaras Sektor Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Indonesia, Wiranto, ia terpaksa dilakukan bagi menghalang berlakunya penyebaran berita palsu dan khabar angin yang bermungkinan boleh menambah lagi risiko keadaan yang buruk.
Sehingga kini kerajaan Indonesia terpaksa menempatkan lebih empat puluh ribu anggota keselamatan di sekitar ibu kota Jakarta bagi mengawal keadaan yang semakin huru hara dan masuk hari kedua.
Malah sebahagian besar premis-premis perniagaan dan pejabat selain stesen kereta api terpaksa ditutup buat masa ini kerana protes yang berlangsung.
Protes berkenaan tercetus apabila penyokong calon yang tewas, Prabowo Subianto tidak berpuas hati dengan pengumuman kemenangan Joko Widodo ataupun Jokowi dalam pemilihan presiden pada 17 April lalu.
Selain enam yang maut dan ratusan yang cedera, sehingga kini pihak polis telah menahan lebih 257 suspek yang dipercayai memulakan rusuhan tersebut.
Dalam pada itu Prabowo dalam satu kenyataan menggesa agar penunjuk perasaan tidak terbabit dengan keganasan sebaliknya ia protes perlu berjalan dengan aman.
“Saya menggesa semua pihak yang menyatakan aspirasi mereka, polis, tentera dan semua pihak menahan diri dari tindakan fizikal,” katanya dalam satu taklimat yang diadakan.
Sementara itu Presiden Jokowi pula dalam satu kenyataan berkata tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan.
“Saya tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa sahaja yang menganggu keselamatan atau mereka yang mengganggu proses demokrasi atau perpaduan negara,” katanya dalam satu taklimat di Istana Presiden.
Salah seorang pegawai kempen Prabowo berkata mereka kini dalam perancangan untuk mencabar keputusan pemilihan ke Mahkamah Perlembagaan hari ini.