FUKUOKA: Sains dan teknologi boleh digunakan untuk melindungi manusia atau memusnahkan mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Perdana Menteri, sains dan teknologi tidak salah, namun kesalahan perlu diletakkan kepada mereka yang melakukan jenayah dan pembunuhan.
Beliau memberi contoh sebilah pisau yang boleh digunakan untuk mengukir sesuatu yang cantik dan sebaliknya boleh juga digunakan untuk melakukan pembunuhan.
“Bahan teknologi itu bukan masalahnya, namun manusia yang mengendalikannya. Sebagai contoh, ambil pisau dan kamu boleh buat ukiran yang cantik. Namun pisau itu juga boleh digunakan untuk membunuh manusia.
“Di sebalik cerita itu, mereka diberi pilihan untuk membuat ciptaan dengan tujuan baik atau jahat. Begitu juga, sains dan teknologi memberi pilihan yang sama kepada manusia,” katanya semasa menyampaikan ucapan bertajuk “Bagaimana Sains dan Teknologi akan menyumbang kepada Keamanan Dunia” di Sekolah Pemimpin Masa Hadapan Jepun di sini pada Rabu.
Katanya, ia bergantung kepada manusia untuk menggunakan bahan teknologi baharu melalui nilai kemanusiaan atau untuk membunuh manusia.
“Setiap masa teknologi sentiasa ditingkatkan dan hari ini kita mempunyai peluru berpandu jarak jauh yang tepat dengan sasaran. Ia menyebabkan pembunuhan lebih banyak nyawa.
“Kini mereka berada di peringkat di mana penemuan saintifik membolehkan mereka memusnahkan seluruh dunia,” ujar Dr Mahathir lagi.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, sains dan teknologi juga boleh digunakan untuk kebaikan kepada manusia.
“Hari ini bahan baharu (melalui sains dan teknologi) boleh digunakan melalui perubatan dan radiasi. Keputusan bergantung kepada kita sama ada untuk menggunakan sains dan teknologi untuk membunuh lebih ramai manusia atau penyakit,” tambahnya.
Justeru, beliau mengingatkan generasi muda yang bakal menjadi pemimpin tahu membuat penilaian dengan sewajarnya.