SEREMBAN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji tidak akan melupakan penduduk DUN Rantau apabila menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelak.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjelaskan, Rantau akan terus dibangunkan selari dengan kawasan parlimennya.
“Sekarang Perdana Menteri dari parlimen Langkawi, selepas ini giliran saya wakil Port Dickson. Saya jadi Perdana Menteri, saya tak lupa Rantau. Saya jaga Port Dickson, maka saya jaga Rantau dan semua kawasan sekeliling,” katanya semasa Ceramah di Rantau pada malam Rabu.
Malah katanya, kesan pembangunan Port Dickson akan turut memanfaatkan daerah dan negeri sekitarnya termasuk memberi peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Di Port Dickson banyak projek baharu. Dari negara China, Eropah, Arab, India. Semua ini saya minta apabila Streram (jadi ADUN) saya nak apabila kita bangunkan Port Dickson, sekelilingnya termasuk Rantau kita tolong. Kita beri pekerjaan kepada anak muda dan peluang perniagaan kepada kamu,” tambahnya.
Katanya lagi, PRK Rantau juga bakal melakar politik masa depan negara dan mengetepikan politik perkauman.
“Sebab itu saya kata kita mesti tolong Orang Melayu yang baik, angkat dia, Orang Cina baik, angkat Orang Cina yang baik. India baik, sokong dia, sokong Streram,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, UMNO akan terus menjadi pembangkang kini dan selamanya.
“Sebab bagi dia (UMNO) memerintah, wang hilang. Beg hilang, jam hilang. 2009 contohnya, FGV untung. Apabila angkat (masuk) Isa Samad 2010 rugi, 2012 rugi. Mahu lagi rugi?
“Bossku datang, dia mari angkat duit, dan di rumah ratus-ratus juta ada. Ini dia datang (Rantau) mereka cium tangan dia pula,” katanya.
Justeru, beliau menggesa pengundi Rantau memilih Dr Streram bagi memastikan wakil rakyat yang dipilih benar-benar mewakili semua kaum di Malaysia.