KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli mendedahkan, beliau dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin serta Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar memang kadang-kala ada berjumpa untuk makan tengah hari bersama.
Dalam sebuah foto yang dimuat naik menerusi laman Twitternya pada Isnin, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, meskipun mereka daripada parti politik yang berbeza, mereka memiliki aspirasi yang sama.
“Kami berkongsi aspirasi yang sama, iaitu untuk melihat Malaysia yang mampu menjana kekuatan dari perbezaan yang kita ada, memahami penuh serta menghormati perbezaan tersebut,” katanya.
Khairy bagaimanapun membalas posting tersebut dengan berseloroh, meminta Rafizi mempelajari cara untuk ‘filter’ (menyunting) foto itu terlebih dahulu sebelum memuatnaiknya.
Rafizi kemudian membalas pula dengan berkata, “Saya tidak akan memuatnaik gambar sebelum mahir menggunakan ‘filter’ terlebih dahulu.”
Bekas calon timbalan presiden PKR itu terkenal dengan sikapnya yang lantang dalam bersuara.
Beliau baru-baru ini mengakui pernah dikeji dan dimaki ketika mendedahkan kepincangan mengenai Tabung Haji (TH) pada 2015.
BACA: Saya pernah dimaki ‘secara berjemaah’ dalam isu Tabung Haji – Rafizi Ramli
Manakala Khairy pula dikenali dengan sikapnya yang sering mempunyai pandangan serta pendirian sendiri dalam partinya, UMNO, serta sentiasa memperjuangkan pendekatan parti yang lebih progresif.