Semuanya bermula apabila lelaki ini dimaklumkan oleh doktornya yang anaknya alergi kepada lemak haiwan. Jadi, Mason berasakan dia perlu berbuat sesuatu agar anaknya dapat makan dengan baik dan seimbang tanpa perlu melalui pengalaman yang menyakitkan akibat keradangan dan alahan.
Menerusi eksperimennya terhadap makanan, maka terciptalah produk makanan inovasi yang baharu untuk anak-anaknya makan dengan selamat dan sekaligus membuka peluang untuk Mason menjadi seorang usahawan yang berjaya. Mari ikuti kisah kejayaan beliau.
#1-Profile Cece’s
Veggie Co
Pada tahun ini, syarikat Cece’s Veggie tersenarai antara syarikat yang paling berjaya dan berkembang pesat. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2015 dan 3 tahun kemudian syarikat ini berjaya mendapatkan keuntungan sebanyak 24.9 juta dollar. Sepanjang penubuhan syarikat ini sepanjang 3 tahun, mereka berkembang pesat dan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 23,880%.
Produk makanan segera syarikat ini bukan sahaja sesuai untuk ‘vegetarian’ tetapi sememangnya menyasarkan pengguna yang mengalami alahan kepada kacang, gandum, soya, makanan laut dan lain-lain lagi. Sudah tentu ini adalah target market yang bagus kerana ada ramai orang yang alah kepada makanan tertentu.
Lihat sahaja ahli keluarga kita, berapa ramai yang terpaksa mengelak untuk makan makanan tertentu kerana alahan yang tiada ubatnya. Maka, tidak hairanlah syarikat ini maju dengan pantasnya dan berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat global. Pada tahun 2015, dia memiliki 10 orang pekerja dan kini berkembang sehingga 200 orang pekerja.
#2-Sejarah
Penubuhan Cece’s Veggie Co
Apabila doktor menasihatkan Mason dan 2 orang anaknya yang mereka perlu mengelak daripada mengambil makan yang mengandungi gluten atau protein lekit yang sering terkandung dalam mee dan nasi, agar anaknya tidak sakit dan terus mengalami keradangan, Mason nekad untuk mencari alternatif kepada masalah ini.
Mason tidak mahu anak-anaknya terpaksa berhenti makan spageti, meatball dan lain-lain makanan yang menjadi kegemaran mereka hanya kerana mereka mempunyai alahan. Jadi, untuk tujuan ini, dia telah memikirkan cara untuk menyelesaikannya. Daripada sini, tercetuslah idea untuk membuat nasi, mee, spaggeti yang berasaskan sayur-sayuran.
Anaknya Cece yang mengalami alahan turut terlibat sama sebelum bermulanya penubuhan syarikat ini. Semasa bereksperimentasi dengan makanan seperti pasta yang dibuat daripada sayuran organik, anaknya Cece sangat menyukai makanan tersebut dan memakannya dengan begitu berselera dan gembira dan sudah tentu ini bukan perkara yang biasa kerana kanak-kanak selalunya sangat sukar untuk makan sayur.
Namun, apabila telah diproses menjadi makanan seperti pasta dan spaggeti, ternyata kanak-kanak biasa yang tidak mengalami alahan juga turut menyukainya. Sebagai seorang ayah yang hebat dan optimis, sudah tentu Mason tahu ini adalah peluang emas untuk beliau mula berbisnes dan menawarkan solusi yang sama kepada keluarga yang mengalami masalah alergi bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak bahkan dalam kalangan dewasa juga.
Bagaimana dengan
modal? Mason mula berbisnes apabila dia meminjam 100,000 dolar daripada pelabur
luar dan turut membuat pinjaman beberapa kali mengunakan kad kreditnya sendiri.
Ada kesukaran tertentu yang perlu Mason tempuhi namun lama-kelamaan, beliau
berjaya meningkatkan modalnya dan membuka kilang yang mengeluarkan pelbagai
produk makanan segera yang bebas untuk sebarang alahan dan kini terus aktif
berinovasi dengan produk lain seperti ramen.
#3-Kejayaan
Mendadak Cece’s Veggie Co
Produk yang tepat, masa yang tepat, pelanggan yang tepat, dan solusi yang terbaik kepada pelanggan target menyebabkan nama produk ini begitu mudah dikenali dan menjadi viral.
Ramai pelanggan tertarik untuk mencuba produk-produk makanan keluaran syarikat mereka dan dijangkakan pasaran untuk pasta bebas gluten akan mencecah sehingga 1.28 billion dollar pada tahun 2025 menurut kajian terkini.
Produk mereka mendapat permintaan yang hebat menyebabkan banyak pasaraya terkemuka menjual produk mereka di rak-rak mereka dan produk mereka boleh didapati dengan senangnya di mana-mana sahaja dalam pasaran U.S.
#4-‘Super Dad’
Yang Bijak Berinovasi
Walaupun syarikat ini tumbuh dengan cepatnya, tetapi bukanlah semudah itu dia mengecapi kejayaan. Sebelum benar-benar terjun ke dalam dunia bisnes, dia telah melakukan banyak kajian dan mengambil tahu banyak pandangan daripada orang lain tentang produk yang bakal beliau jual.
Hasilnya, Mason berjaya mencipta mesin yang memproses sayur menjadi spageti, pasta dan lain-lain yang kelihatan sama dengan produk yang asal. Itulah apa yang dijanjikan syarikat ini.
Mereka mahu pelanggan mereka mengalami pengalaman makan makanan yang hebat, lazat, mudah disediakan dan menyeronokkan namun pada masa yang sama, tidak jauh berbeza daripada tekstur makanan asal melainkan makanan ini tidak akan memberikan sebarang keradangan kepada pemakannya.
Antara produk inovasinya yang pertama adalah spageti zucchini dan spageti ubi manis. Untuk memastikan kesegaran makanan kekal terpelihara, produk ini hanya bertahan untuk 2 minggu dan mereka harus memastikan produk ini dijual sepanjang tempoh itu.
Ini adalah cabaran mereka namun ‘super dad’ ini sangat optimis yang mereka dapat melakukan jualan dengan baik walaupun produk mereka hanyalah untuk 2 minggu sahaja. “Kualiti makanan dan kualiti pekerja adalah faktor kejayaan kami”, akui beliau.