LANGKAWI:
Berita kematian Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3 tahun, yang mayatnya ditemukan di sebuah kawasan di Langkawi selepas dipercayai meninggal dunia sejak dua minggu sebelumnya, ternyata menyentuh hati ramai pihak.
Ini kerana, menurut Mohd Faizal Zakaria, 49 tahun, kebanyakan penghuni yang tinggal di kuarters pekerja Hospital Langkawi itu terdiri daripada keluarga yang mempunyai ramai anak.
Jelasnya, dia mempunyai keinginan untuk naik ke tingkat atas bagi mengetahui apa yang berlaku, namun Faizal membatalkan niat tersebut dek kerana suspek pasangan suami isteri yang menjaga mangsa mempunyai anak yang ramai.
“Ada pernah terdengar tengah-tengah malam tangisan budak, namun bukanlah setiap hari kerana kadang-kadang apabila balik (rumah) saya sertai aktiviti larian dan mengayuh basikal dan kami balik lewat,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
BACA: Pembunuhan Nur Aisyah: ‘Suspek seorang panas baran’ – Ibu mangsa
Dalam kejadian itu, Nur Aisyah ditemukan mati di Gunung Raya kira-kira pukul 11.30 pada Rabu dalam keadaan menyayat hati apabila hanya tinggal tengkorak kepala dan cebisan rambut miliknya.
Penemuan tersebut terbongkar selepas soal siasat dilakukan terhadap kedua-dua suspek yang menjaga kanak kanak terbabit sebaik sahaja ditahan di Ampang pada Selasa selepas dipercayai melarikan diri dari Pulau Langkawi.
Faizal menambah, beliau sering bertegur sapa dengan suspek lelaki terbabit, namun tidak pernah mengesyaki sesuatu yang pelik sehinggalah kehadiran polis ke rumah lelaki terbabit awal pagi Selasa.
“Kali terakhir saya jumpa suspek adalah pada minggu lepas dan tiada sebarang masalah apabila dia juga menegur saya semasa sedang berehat di belakang.
“Saya tidak nampak apa-apa yang mencurigakan pun sebab ketika saya berjumpa dia baru balik mengambil isterinya,” katanya.