KUALA LUMPUR, 15 Nov — Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli mencatatkan kemenangan ketiganya musim ini selepas memenangi Grand Prix (GP) Valencia di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol hari ini.
Pelumba Itali berusia 25 tahun itu yang memulakan perlumbaan dari petak utama menguasai perlumbaan sejak dari awal lagi sebelum berentap dengan pelumba Australia Jack Miller daripada pasukan Pramag Racing di pusingan terakhir untuk menjadi pelumba pertama melepasi garisan penamat dengan masa 41 minit 22.478 saat.
Sebelum ini, Morbidelli memenangi perlumbaan GP San Marino dan GP Teruel.
Miller di tempat kedua, 0.093 saat di belakang Morbidelli sementara pelumba Sepanyol Pol Espargo daripada pasukan Red Bull KTM Factory Racing di tempat ketiga dengan catatan masa 41:25.484 saat dalam perlumbaan sebanyak 27 pusingan itu.
Rakan sepasukan Morbidelli, Fabio Quartararo dari Perancis gagal menamatkan perlumbaan selepas terlibat dalam kemalangan di selekoh keenam pada pusingan kesembilan dan membantutkan hasratnya memburu mata bagi kejuaraan MotoGP Dunia.
Sementara itu, pendahulu MotoGP, pelumba Sepanyol Joan Mir daripada Team Suzuki Ecstar, muncul Juara Dunia MotoGP musim ini biarpun menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh (41:31.181 saat) dalam perlumbaan hari ini. Beliau mengumpul 171 mata selepas berlumba dalam 13 perlumbaan dengan berbaki satu lagi perlumbaan.
Mir adalah pelumba kedua Suzuki menjuarai MotoGP Dunia sejak pelumba Amerika Syarikat Kenny Roberts Jr memperolehnya pada 2000.
Dalam perlumbaan kategori lain, pelumba Petronas Sprinta Racing Xavi Vierge dari Sepanyol menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 dalam kategori Moto2 dengan masa 40 minit 15.720 saat dalam perlumbaan 25 pusingan.
Rakan sepasukannya Jake Dixon dari Great Britain tidak menyertai perlumbaan hari ni selepas menjalani pembedahan pergelangan tangan kanannya di United Kingdom minggu ini.
Dua pelumba Malaysia — Hafizh Syahrin Abdullah daripada Inde Aspar Team Moto2 dan Kasma Daniel Kasmayudin daripada OneXoX TKKR SAG Team masing-masing di tempat ke-19 dan ke-20 dengan catatan masa 40:44.293 saat dan 40:49.017 saat.
Dalam kategori Moto3, pelumba Petronas Sprinta Racing John McPhee di kedudukan ke-11 dengan catatan masa 38:30.341 saat dalam perlumbaan 23 pusingan itu sementara rakan sepasukannya dari Malaysia Khairul Idham Pawi gagal menamatkan perlumbaan selepas terlibat dalam kemalangan pada pusingan ke-21.
— BERNAMA