Oleh R. Vikneswaran
KUALA LUMPUR, 3 April — Persekutuan Renang Malaysia (MS) amat berharap Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) akan meneruskan penganjuran Piala Dunia Terjun 2021 di venue yang baharu.
Penganjuran kejohanan kelayakan ke Olimpik Julai yang terakhir, yang dijadualkan pada 18-23 April di Pusat Akuatik Tokyo yang baharu siap itu, menjadi tidak dapat dipastikan, akibat kekuatiran berkaitan COVID-19 di Jepun.
“FINA kini sedang mencari negara tuan rumah yang baharu untuk menganjurkan acara ini. Kita akan tunggu maklumat terkini dan berharap ia akan berlangsung kerana ia merupakan sesi kelayakan terakhir untuk layak ke Olimpik,” kata Setiausaha MS Mae Chen kepada Bernama.
Fina semalam dalam satu kenyataan ringkas menyatakan “keputusan untuk menukar tempat bagi Kelayakan Olimpik FINA yang dirancangkan di Jepun kini dikaji semula. Satu pengumuman akan dikeluarkan minggu hadapan.”
Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee telah bersedia untuk mengambil bahagian walaupun telahpun melayakkan diri ke Olimpik, manakala Cheong Jun Hoong, Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang berharap untuk melayakkan diri menerusi Piala Dunia itu.
Pada edisi Rio 2016, pasangan Pandalela-Jun Hoong menang pingat perak dalam acara terjun 10 meter seirama wanita.
— BERNAMA