KUALA TERENGGANU, 27 Jan — Meskipun akan memberi kesan kepada pasukan, Terengganu FC (TFC) akur dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membatalkan saingan Piala FA dan menunda sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2021 ke 5 Mac ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pegawai Eksekutif TFC Ab Rasid Jusoh berkata pembatalan Piala FA akan memberi kesan kepada skuad Penyu kerana kehilangan satu piala untuk direbut pada 2021 dan jumlah perlawanan terutama buat pemain muda akan berkurangan.
“Perkara ini berulang kembali seperti tahun lepas apabila MFL turut membatalkan saingan Piala FA 2020. Dengan ini ia akan memberi kesan kepada pemain-pemain yang ada, apabila jumlah perlawanan menjadi berkurangan terutamanya pemain muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun Ab Rasid berkata TFC masih mempunyai kelebihan pada tahun ini apabila bakal beraksi merebut Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021.
Sementara itu dalam kenyataan sama, pengendali TFC Nafuzi Zain berkata penundaan sepak mula Liga-M adalah satu tindakan yang tepat kerana para pemain mempunyai masa yang lebih untuk fokus dan melakukan persiapan menghadapi perlawanan.
“Ini disebabkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini pasukan tidak dapat turun untuk berlatih sepenuhnya. Pada masa yang sama skuad Penyu masih lagi mencari keserasian terutama dalam kalangan pemain import yang baharu menyertai TFC musim ini,” katanya.
PKP dilaksanakan di seluruh negara, kecuali Sarawak hingga 4 Feb ini.
— BERNAMA