JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menyempurnakan pelepasan peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi Lady Bikers Tourism Ride ’18 di Istana Pasir Pelangi, di sini.
Program julung kali anjuran kerajaan negeri Johor melalui Tourism Johor itu membabitkan konvoi 108 penunggang wanita dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan serta Brunei Darussalam.
Konvoi membabitkan perjalanan sejauh 1,000 kilometer itu bermula dari Putrajaya, semalam, sebelum tiba di Johor Bahru seterusnya ke Kota Tinggi serta Muar dan dijadualkan berakhir di Putrajaya, esok.
Konvoi tiga hari dua malam tersebut melibatkan penjelajahan ke 14 lokasi tarikan pelancongan di negeri ini antaranya Marina Puteri Harbour, Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos Larkin, Kompleks Yayasan Warisan Johor, Dataran Bandaraya Johor Bahru serta Laman Mahkota.
Konvoi turut dijadualkan singgah di Muzium Tokoh, Muzium Nelayan Tanjung Balau, Pantai Tanjung Balau, Muar River Cruise dan Desa Keroma Eco Resort, Muar.
Turut hadir pada majlis pelepasan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri Liow Cai Tung, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar dan Ketua Lady Bikers merangkap Ketua Sekretariat Konvoi, Maznah Mohamad.
Sementara itu, Liow menerusi kenyataan berkata objektif penganjuran program itu adalah bagi mempromosikan produk pelancongan Johor.
Beliau berkata pada masa sama, program seumpama itu dapat membangunkan pakej pelancongan bagi aktiviti bermotosikal dan menjadikan negeri ini sebagai destinasi menarik bagi aktiviti konvoi bermotosikal.
Katanya sebagai langkah permulaan, kerajaan negeri melalui Tourism Johor akan melancarkan tiga pakej pelancongan permotoran negeri Johor untuk pakej tiga hari dua malam membabitkan tiga laluan.
“Pakej pertama membabitkan laluan Putrajaya-Johor Bahru-Desaru- Kota Tinggi-Kluang-Muar-Putrajaya. Pakej kedua membabitkan laluan Putrajaya-Muar-Batu Pahat-Putrajaya manakala pakej ketiga, Putrajaya-Johor Bahru-Kluang-Segamat dan Putrajaya,” katanya.
Beliau sehubungan itu, yakin kerjasama semua pihak akan dapat menyemarakkan industri pelancongan domestik di Johor, sekali gus menarik minat kelab permotoran luar negara datang, bermalam dan berbelanja di negeri ini.
— BERNAMA