Aliran jumlah sumbangan sektor pembuatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia disasarkan mengalami peningkatan menjadi 7 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang berbanding 5.8 peratus ketika ini.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, perlaksanaan untuk mencapai sasaran tersebut boleh direalisasikan melalui kaedah mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk PKS membangun.
“Terdapat banyak perkara yang dirangkakan sekarang sedia untuk dilaksanakan. Sumbangan sebanyak 5.3 peratus kepada 20 peratus dan sasaran sebanyak 7 peratus memadai berdasarkan apa yang telah dirangkakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar ‘Going Public: Unlocking the Potential of SMEs’ di Ibu Pejabat Bursa Malaysia, hari ini.
Berdasarkan pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) 2016-2020 di Parlimen pada Oktober lepas, kerajaan telah menyasarkan sumbangan 41 peratus daripada PKS kepada pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2020.