Tak semua orang mampu terus bertahan setelah dilanda pelbagai ujian dalam rumah tangga. Bukan kerana tak sanggup susah senang bersama. Namun andai diri umpama tak dihargai suami, diri mengalami keganasan fizikal atau pun emosi, siapa boleh tahan.
Berat Hati Tapi Tak Perlu Teruskan
Bukan juga bermaksud hatinya cukup rapuh dan tak kuat untuk menghadapi sikap suami. Namun, mungkin dia sudah habis daya untuk bersabar dan terus bersabar. Akhirnya dia tekad; That’s it! Cukup-cukuplah!
Kalau terus menerusi begini, mungkin dirinya akan ditimpa kemurungan melampau dan lebih teruk nanti jatuh sakit pula. Jadi, lebih baik keluar daripada perkahwinan itu yang tak lagi membahagiakan dirinya. Bahkan membuatkan dirinya makin ‘sakit’ dan merana emosi.
Tak Mudah Seperti Dilafaz
Ya, memang tak mudah. Orang boleh cakap apa saja tapi kita yang hadap. Bukan semua dikurniakan rezeki memiliki suami yang baik.
Bertahun-tahun hidup dengan lelaki bergelar suami bukan mudah. Ada wanita yang sanggup cuba bertahan walau pun diri umpama ‘punch bag’ kerana dia tak nak anak-anak hidup tanpa ayah. Ada yang sanggup bersabar walau pun beribu kali terluka kerana kecurangan suami sebab takut dan bimbang dengan kehidupannya andai dia bergelar ibu tunggal. Apa orang akan kata?
Ah, Kena ingat wahai wanita! Apa pun yang kita lakukan, fikirkan untuk kebahagiaan diri sendiri dulu. Dalam bab ini, kita memang kena bersikap selfish atau pentingkan diri. Bahagia kita sendiri yang kena cari dan tentukan.
Tak perlu fikirkan kata-kata atau persepsi orang pada kita. Yang rasa kita, yang derita pun kita. Orang tak ada di tempat kita, bolehlah cakap sedap mulut mereka saja.
Tak Perlu Risau Soal Anak-Anak
Sering kali isteri menjadikan anak-anak ‘halangan’ untuk mereka membuat keputusan. Kononnya kasihan pada anak-anak nanti bila bercerai. Hilang kasih seorang ayah.
Tolonglah ubah tanggapan ini. Betulkah anak-anak tak bahagia bila mak dan ayahnya bercerai? Entah-entah anak sebenarnya lagi bahagia bila mak ayahnya bercerai. Mungkin selama ini mereka sendiri cukup sedih dan tersiksa melihatkan sikap ayah melayan mak mereka.
Baca artkel menarik lain di sini:
Awasi Tanda-Tanda Ini, jika Ada Anda Mungkin Di Ambang Perceraian!
Lafaz Cerai Secara KINAYAH Perlu Dibuat Pengesahan Bila TIMBUL Was-was
Tak Perlu Meratap TAPI Terus Move On Selepas Dicurangi
Jangan lupa follow MINGGUAN WANITA di instagram
Terus Terang Dengan Anak
Jangan merendahkan keupayaan emosi anak-anak. Kalau benar keputusan itu dibuat, berterus terang dengan mereka. Insya-Allah mereka akan faham atau sekurang-kurangnya dapat terima dengan baik. Jelaskan bahawa mak dah tak boleh hidup dengan ayah tapi apa pun terjadi mereka takkan dipisahkan dengan ayah mereka.
Selain itu, kalau benar si ayah merupakan ayah yang baik, dia tetap akan beri nafkah anak-anak dia. Apa gunanya kalau masih tinggal sebumbung tapi nafkah anak pun terabai? Hubungan dengan anaka-anak pun renggang. Mungkin bila mak dan ayah berpisah, mereka tak kisah pun! Yang penting, bahagiakan diri kita, insya-Allah kita juga mampu bahagiakan anak-anak.
Sokongan Keluarga Dan Teman Rapat
Perceraian bukan perkara kecil. Ia akan merubah seluruh kehidupan anda dan anda perlu bersedia fizikal dan mental.
Walau sekuat mana pun kita, tentu memerlukan sokongan emosi daripada orang-orang yang rapat sama ada keluarga atau sahabat. Dapatkan sokongan mereka kerana ia dapat meningkatkan keyakinan diri untuk membuat keputusan yang besar dalam hidup itu.
Bila emosi tidak stabil, luahkan pada orang-orang yang dipercayai itu untuk memberikan kelegaan emosi. Usah memendam sendirian. Jangan sesekali berlagak umpama anda teramat kuat dan tak terganggu emosi terhadap apa yang terjadi.
Rancang Kehidupan Dan POSITIF!
Apabila sudah tekad untuk hidup solo, anda ada anak-anak yang perlu dijaga. Maka, jangan berlama-lama tenggelam dalam lautan emosi. Bangkit dan rancang kehidupan demi diri dan anak-anak.
Yang sedia ada kerjaya, mungkin tidak sukar sangat. Bagi yang tidak bekerja dan perlu mula mencari rezeki, minta pandangan dan nasihat orang lain juga. Kadangkala kita ‘tak nampak’ jalan dan perlu dibimbing. Jangan malu untuk bermula dari bawah. Andai sebelum ini anda mampu hidup selesa, mungkin kini anda perlu ubah gaya hidup sehingga anda kembali stabil.
Apa pun, jangan menyesal terhadap keputusan yang telah dibuat itu. Kena yakin, keputusan itu adalah untuk kebahagiaan anda sendiri. Siapa yang suka-suka nak memperjudikan hidupnya dan anak-anak bukan? Dan, jangan sesekali menutup pintu hati untuk menerima kehadiran lelaki lain sebagai suami bila tiba masanya kelak. Sekali gagal bukan selamanya kita akan terus gagal untuk bahagia…