HUJAN dan sejuk, itulah yang bermain dalam minda pengacara TV dan penyampai radio, Aishah Sinclair beberapa minggu sebelum mengharungi marathon di Tokyo.
Marathon di Tokyo adalah salah satu daripada enam acara besar marathon ataupun ‘World Major’ dan mendapatkan slot untuk menyertai acara itu amatlah sukar.
Di bawah program Asics, Aishah ditawarkan slot untuk berlari di Tokyo Marathon tahun ini dan sebagai persediaan, Asics menurunkan jurulatih khas, Chevy Rough yang berpangkalan di United Kingdom.
Rough adalah seorang jurulatih prestasi dan fokus mental dari ASICS Global, dimana dia lebih menitik beratkan fokus terhadap keadaan sekeliling, fungsi badan dan juga pengawalan mental.
Selepas menjalani eksperimen pertama dengan Asics di London, Aishah sekali lagi diuji dengan latihan selama 12 minggu bersama Rough.
Setibanya di Tokyo pada hujung Februari, Aishah sudah lebih bersedia dan salah satu kelebihan yang dimiliki Aishah sudah pasti pengalaman berlari di Fuji-San Marathon pada November 2018.
Pelancaran METARIDE di Tokyo
Acara pertama di Tokyo sudah pasti pelancaran kasut terbaharu ASICS, METARIDE.
Wartawan, artis dan atlet dari seluruh dunia bergabung di Tokyo untuk menyaksikan sendiri kasut larian yang dianggap paling berinovasi yang dikeluarkan ASICS.
Reka bentuk tapak GUIDESOLE pada METARIDE adalah teknologi terbaharu yang dapat membantu pemakai untuk menggerakan badan ke hadapan.
Ia dibangunkan oleh pasukan saintis dan pereka di Institut Sains Sukan ASICS (ISS) di Kobe, Jepun dalam satu kajian yang melibatkan tempoh dua tahun.
ASICS menyatakan teknologi tersebut, terutama di bahagian GUIDESOLE, dapat mengurangkan jumlah kehilangan tenaga di pergelangan kaki yang menggunakan banyak tenaga.
“Anda akan berasa sedikit pelik apabila memakai METARIDE buat kali pertama, anda mengayunkan badan ke depan dan ke belakang namun itulah sebenarnya fungsi kasut itu, ia membantu anda bergerak ke hadapan,” kata Aishah.
“Apabila anda berlari dengan METARIDE, pada pandangan saya ia mengurangkan geseran dan bantu dengan momentum larian anda sekali gus saya rasa ia membantu anda berlari dengan lebih jauh dan menjimatkan tenaga.”
D-Day; Tokyo Marathon 2019
Sehari sebelum Tokyo Marathon, cuaca amatlah baik namun pada hari acara tersebut, hujan lebat dan suhu sangat sejuk.
Aplikasi Weather memberitahun pada jam tujuh pagi, suhu mencecah 5 darjah selsius dan dengan hujan dan angin yang kuat, ia satu yang mencabar buat peserta.
Aishah bernasib baik dapat mendapatkan kelengkapan tambahan untuk mengharungi larian tersebut.
“Saya tidak membawa jaket, jadi saya pergi ke ASICS Store di Tokyo dan mendapatkan baju lengan panjang, jaket hujan, plastik pakai buang yang ringan untuk larian,” kata Aishah.
Aishah belum bersedia untuk memakai METARIDE dengan sepanjang 12 minggu latihan diadakan, dia menggunakan ASICS GEL-Cumulus 20.
Cabaran utama larian sudah pasti menunggu perlumbaan bermula kerana terpaksa berdiri dalam kesejukan.
Aishah dan krew ASICS Malaysia tiba di lokasi seawal 7:30 pagi, lebih kurang dua jam sebelum pelari dilepaskan.
Hujan dan suhu yang sejuk mencabar mental pelari yang terpaksa melakukan aktiviti pemanas badan tanpa henti untuk mengelak rasa sejuk melampau.
37,000 peserta Tokyo Marathon akhirnya dilepaskan pada jam 9 pagi bermula dengan peserta Orang Kelainan Upaya (OKU) diikuti peserta elit dan yang lain-lain.
Hujan sepanjang perlumbaan ditambah dengan suhu yang sejuk menyebabkan Aishah mahu menamatkan perlumbaan secepat mungkin.
“Mungkin kerana suhu yang sejuk, saya membuat keputusan untuk meningkatkan pecutan kerana saya tidak mahu berlari dalam hujan pada suhu lapan darjah celsius dalam tempoh yang lama.”
Mungkin ada yang tidak mampu menghabiskan perlumbaan akibat cuaca yang buruk, namun Aishah menganggap ia satu kelebihan.
Akhirnya, Aishah menamatkan perlumbaan dengan catatan rekod peribadi terbaharu, 4 jam 33 minit 1 saat, mengatasi rekod terbaiknya sebelum ini iaitu 4 jam 59 minit.
Sokongan daripada ASICS dan keluarga ternyata berjaya meningkatkan prestasi larian Aishah sehingga dapat mencatat rekod baru peribadi dalam larian.