Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) menyatakan kesediaan untuk terus membantu golongan usahawan di negara ini melalui penyaluran insentif dana sebanyak RM330 juta yang akan diagih-agihkan mengikut keperluan pada tahun ini.
Timbalan Pengerusi TEKUN Nasional, Najwah Halimah Ab. Alim berkata, seramai 22,000 usahawan dijangka menerima manfaat tersebut berdasarkan tiga inisiatif utama hasil perangkaan pelan tindakan agensinya yang akan lebih tertumpu kepada B40 (golongan 40 peratus pendapatan rendah negara).
“Bagi memastikan usahawan TEKUN berdaya saing dan maju dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan, mereka diwajibkan untuk menghadiri Seminar Asas Keusahawanan (SAK).
“Seminar ini diadakan sebagai pendedahan dan bertujuan meningkatkan pengetahuan usahawan berkenaan ilmu pemasaran dan kewangan mengikut keperluan semasa serta mewujudkan jaringan dalam kalangan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan 2020 di tapak parkir Batu Pahat Mall Johor, baru-baru ini.