SKUAD beregu lelaki profesional negara memastikan satu lagi wakil ke pusingan kedua susulan kemenangan gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong ke atas wakil Thailand dalam saingan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Arena Axiata, malam tadi.
V Shem-Wee Kiong mengikut jejak langkah Andrew Chooi Kah Ming dan Low Juan Shen yang terdahulu menyingkirkan pasangan ranking ke-11 dunia dari China, He Jiting-Tan Qiang.
Di atas kertas, V Shem-Wee Kiong dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash berdasarkan tiga rekod pertemuan yang memihak pasangan Malaysia itu.
Set pertama mencorakkan haluan perlawanan itu secara keseluruhan apabila V Shem-Wee Kiong menang 21-14 sebelum diasak dalam set berikutnya.
Meskipun ada kesilapan sendiri yang dilakukan, mereka tetap unggul dengan kemenangan 21-18.
“Kami bermain dengan baik dalam perlawanan ini, setiap perancangan dijalankan dengan baik,” kata V Shem.
“Sasaran kami turun beraksi di laman sendiri adalah muncul juara. Kami mahu memastikan tekanan tidak mengganggu dan mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan,” kata Wee Kiong pula.