KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu sedang merancang untuk menubuhkan sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pengajian Islam, seumpama Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KuSZA).
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia adalah sebagai kesinambungan kepada penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Darul Iman (SMIDI), tahun depan.
Beliau berkata gerak kerja ke arah penubuhan institusi itu telah dimulakan dan ia dijangka akan dapat direalisasi sebelum tamat penggal Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
“Apa yang kita cuba bentuk dan rangka adalah sebuah institusi sama seperti KuSZA dahulu…sama ada ia sebuah universiti sepenuhnya atau kolej sepenuhnya, kita belum sampai ke tahap itu lagi.
“Pada peringkat ini kita lakukan tinjauan dan lihat dahulu kesesuaian…mana lebih sesuai berpandukan peraturan-peraturan universiti atau kolej yang sedia ada,” katanya selepas menghadiri Program Bicara Darul Iman Bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir di Wisma Darul Iman, hari ini.
Kusza, sebuah institusi pe-ngajian tinggi Islam milik kerajaan negeri Terengganu yang berprestij dibubarkan pada 2006 bagi memberi laluan ke arah kewujudan Universiti Darul Iman yang kemudiannya dinamakan Universiti Sultan Zainal Abidin Sultan Zainal Abidin kini.
— BERNAMA