KUALA LUMPUR : Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu bagi memerangi penularan COVID-19, pastinya perutusan khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara yang dinanti-nantikan orang ramai.
Perutusan hari ini merangkumi lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang turut diputuskan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerana usaha memerangi COVID-19 masih belum berjaya sepenuhnya.
Jika anda terlepas perutusan khas yang disiarkan jam 2 petang tadi, jangan risau. Ini rangkuman intipati perutusan tersebut yang perlu anda tahu;
1) PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020
Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, dari segi pandangan umum, beliau dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini.
Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020.
2) Larangan rentas negeri masih berkuat kuasa
Kerajaan mengambil keputusan untuk terus menguatkuasakan larangan perjalanan merentas sempadan negeri sempena musim perayaan ini.
Ini termasuk sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, dan Hari Gawai, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.
BACA: PKPB: PM mohon maaf, larangan rentas negeri sepanjang musim perayaan masih berkuatkuasa
3) Ziarah hari perayaan dibenarkan dalam negeri sama
Meskipun PKPB dilanjutkan sehingga 6 Jun depan, kerajaan tetap memberikan kelonggaran untuk menyambut semua jenis perayaan dalam tempoh itu.
Bagaimanapun, sambutan itu hanya dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama.
Jamuan keraian pada musim perayaan juga perlu dihadkan maksimum seramai 20 orang pada satu-satu masa.
4) Suami, isteri di negeri berlainan dibenarkan kembali bersatu
Kerajaan mengambil keputusan untuk melonggarkan larangan ke atas kes-kes sedemikian bagi membolehkan mereka berjumpa dengan pasangan dan anak masing-masing.
Suami dan isteri yang ingin memohon kebenaran untuk kes seperti itu boleh menggunakan aplikasi khas Gerak Malaysia atau terus ke Balai Polis yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka.
Dalam pada itu, Kerajaan Sabah dan Sarawak diminta agar memberikan pertimbangan dalam memberi kelonggaran sedemikian.
BACA: PKPB: Tiada lagi halangan suami, isteri di negeri berlainan untuk kembali bersatu – PM
5) Tempoh rayuan BPN dilanjutkan sehingga 31 Mei
Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga 31 Mei, 2020.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rungutan rakyat mengenai sebab penolakan yang dianggap tidak relevan dengan situasi semasa.
6) JAKIM perhalusi SOP solat berjemaah
Pastinya ramai yang merindukan untuk beribadah secara berjemaah.
Ketika ini, menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) untuk kebenaran bersolat jemaah di masjid dan surau.
Selepas SOP itu dimuktamadkan, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam Persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan.
ARTIKEL BERKAITAN: Solat Jumaat dibenarkan? Ini apa yang anda perlu tahu
7) Malaysia capai tangga keempat kepuasan hati rakyat tangani COVID-19
Sejak permulaan PKP, pelbagai reaksi yang diluahkan oleh rakyat.
Namun, ada berita gembira yang dimaklumkan Tan Sri Muhyiddin petang tadi mengenai pelaksanaan PKP.
Malaysia kini berada di tangga keempat daripada 105 buah negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap kerajaan dalam usaha menangani COVID-19.
Jelasnya, kejayaan itu adalah hasil usaha dan pengorbanan semua pihak khususnya pasukan barisan hadapan.