Persekitaran negatif, orang-orang negatif, baik pekerja atau majikan toksik, pasti anda pernah mengalami salah satu daripadanya. Berada bersama-sama orang yang negatif boleh menyebabkan anda berada dalam keadaan selesa dan prestasi juga produktiviti anda juga boleh terjejas.
Dalam bisnes, anda tidak akan terlepas dalam berada dalam situasi ini. Tanpa disangka-sangka, jika terus berada dalam situasi ini secara konsisten, anda juga akan terjebak sama, walaupun asalnya anda bukan orang toksik, namun, bekerja atau berniaga bersama-sama orang toksik akan membuatkan nilai moral anda jatuh.
Jika perkara negatif itu bermula daripada anda, anda akan menjangkiti orang lain juga. Jadi, bagaimana untuk mengelakkannya daripada terjadi dan merebak?
#1-Semak Diri
Apabila Anda Mula Merungut
Salah seorang Jurulatih Kerjaya yang terkenal, Brandon Smith , berkata, apabila kita datang ke tempat kerja dengan sifat dan perbuatan yang negatif, orang lain juga akan turut menerima aura tersebut dan memantulkan perkara yang sama.
Perkara pertama yang kita boleh pastikan jika kita sudah mula negatif atau tidak adalah dengan melihat rungutan kita. Reflek perbualan kita sehari-hari, sama ada kita lebih banyak merungut atau perbualan kita haya seperti biasa. Jika anda perasan anda kerap merungut, sama ada mengenai kerja atau orang lain, cuba seimbangkan dengan memberikan komen yang lebih positif.
Orang lain akan sentiasa ingat apa yang kita kata dan apa yang kita buat. Jadi, cubalah untuk memperbaik cara kita memberi respon kepada orang lain. Contohnya, apabila kita memberikan komen negatif, gunakan perkataan ‘tetapi’ setelah berkata perkara negatif dan kemudian katakan sesuatu yang positif.
Contohnya, “Saya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang agak lama dan membuang banyak masa tetapi syukurlah saya berjaya sampai ke pejabat pada waktu yang tepat.”
Selain daripada mengawal diri sendiri daripada terlalu negatif namun pasti sukar jika orang di sekeliling kita yang sering bersikap negatif. Apa yang anda boleh lakukan adalah cuba untuk tidak terlibat sama terutama sekali jika perkara tersebut tidak berkaitan dengan anda.
#2-Berikan Solusi
Sesetengah rungutan adalah normal, sebagai manusia, pasti kita tidak akan terlepas dengan rasa ingin merungut. Sebenarnya, merungut juga boleh buatkan kita lebih rapat dengan orang lain kerana mungkin mereka juga berkongsi perasaan yang sama. Jika anda tidak bergaul terus dengan mereka apabila majoriti mereka berada dalam persekitaran anda, dikhuatiri anda akan menjadi kera sumbang dan mungkin akn disisihkan.
Jangan begitu, baik anda pekerja atau majikan, untuk kekal positif dalam situasi negative, anda boleh ambil tahu mengenai rungutan mereka dan cuba berikan idea untuk menyelesaikannya atau bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikannya. Walaupun anda bukan pemimpin atau tidak ada kuasa, pasti ada sesuatu yang anda boleh lakukan walaupun hanya dengan memberi nasihat.
#3-Cari Perkara Baharu
Kadang-kadang, apabila anda terasa negatif, apa yang anda boleh lakukan adalah cuba untuk lakukan sesuatu yang baharu. Mungkin anda boleh tenangkan diri anda dengan bersiar-siar, membaca buku atau bermain ‘game’.
Apabila anda lakukan sesuatu di luar kebiasaan, anda akan berasa teruja dan inilah masanya untuk anda mengurangkan rasa negatif yang bersarang dalam diri anda. Anda juga mungkin mudah berasa negatif kerana terlalu tepu atau bosan melakukan perkara yang sama tanpa ada pembaharuan dalam diri.
Jadi, apa yang anda boleh lakukan adalah sentiasa cabar diri anda untuk lakukan perkara yang anda tidak pernah atau takut untuk lakukan. Sudah tentu tugasannya lebih sukar namun, apabila anda serius dan lebih fokus, anda tiada masa untuk berasa negatif. Anda juga boleh berazam untuk menambah rutin positif dalam hidup.
Contohnya, anda setkan untuk memuji setiap orang pada hari Jumaat, berikan pujian ikhlas tentang perkara bagus yang mereka lalukan pada minggu tersebut. Anda juga boleh bersedekah setiap Jumaat dan membelikan mereka sarapan sekali setiap minggu. Apa-apa sahaja cara asalkan positif. Selamat mencuba!
Penulis:
Nadia Nazri