Kini, bidang perniagaan semakin berkembang maju sehingga menarik ramai orang menceburkan diri di dalam bisnes. Sehinggakan ada yang daripada berniaga secara sambilan sudah menjadikan perniagaan sebagai kerjaya tetap. Melakukan perniagaan ini bukanlah mudah namun tidak juga sukar. Tetapi di sebalik kemanisan berniaga ada juga cabaran yang mendatang.
Bisnes melibatkan banyak fasa yang perlu dilalui. Peringkat permulaan baru memulakan perniagaanlah banyak usaha perlu diletakkan. Ini kerana ia akan penentu kepada perjalanan perniagaan kelak. Namun banyak salah faham tentang perkara yang perlu dilakukan pada awal membina bisnes. Keadaan ini menjejaskan halatuju bisnes. Ada beberapa perkara yang anda perlu hindari untuk mengelak daripada mengalami bisnes sangkut pada tahap sama sahaja.
#1 Growth Mindset
Jangan rasa selesa berada di tahap sama. Usahawan sebagai pemilik bisnes perlu sentiasa ada perancangan untuk lakukan penambahbaikan. Walaupun sudah merasakan pendapatan bulanan mencukupi tetapi masih perlu memikirkan cara untuk tambah lagi jualan. Contohnya, jika jualan untuk bulanan menjangkau 5 angka, pastikan 5 tahun akan datang angkanya bertambah berganda-ganda. Set minda untuk meningkatkan jualan dan memajukan bisnes. Growth mindset memastikan anda tidak berada di takuk lama sama seperti awal berbisnes.
#2 Tidak Jaga Pelanggan
Ramai usahawan yang sibuk mencari pelanggan baru sehingga tidak sedar mereka telah mengabaikan pelanggan sedia ada. Sebenarnya lebih mudah membuat jualan dengan pelanggan lama kerana prospek yang lebih tinggi. Mereka sudah tahu dan kenal jenama dan produk anda. Usahawan yang gagal dalam menjaga pelanggan telah merugikan peluang untuk menerima maklumbalas. Tanpa maklumbalas sukar untuk melakukan penambahbaikan.
#3 Takut Ambil Staf
Pemikiran hendak berniaga seorang diri perlu diubah. Kenapa? Kerana jika berniaga seorang diri akan adanya limitation. Batasan ini wujud kerana keterbatasan tenaga, masa, modal dan yang berkaitan. Elakkan lakukan kerja tanpa bantuan orang lain. Ada usahawan yang lakukan semua sendirian dari ambil tempahan, menjawab WhatsApp, sehingga melakukan penghantaran barang sendirian. Tidak ada salahnya mengupah staf.
#4 Tidak Melakukan Kajian Tentang Segmen Pelanggan Baru
Pilih segmen pelanggan yang mempunyai masalah kerana ia adalah satu peluang. Sebagai contoh, pelanggan mempunyai masalah kekangan masa untuk melakukan kerja laundry. Dari masalah itu usahawan merebut peluang untuk terlibat dalam bisnes dobi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pelanggan.
#5 Terlalu Selesa Dengan Pendekatan Sama
Teknik di dalam bisnes perlukan pembaharuan dan penambahbaikan. Pendekatan perlu diubah jika tidak pelanggan akan bosan. Misalnya teknik copywriting yang telah digunakan beberapa tahun lalu perlu ditukar mengikut keadaan semasa. Atau teknik pengiklanan yang sama sahaja akan buat audiens jemu. Misalnya, lihat pendekatan yang dilakukan oleh McDonald’s yang mengubah dan menginovasi produk sedia ada ayam goreng menjadi ayam goreng ‘crispy‘ dan pedas. Perubahan pendekatan ini menarik lebih banyak permintaan.
#6 Tidak Memantau Ahli Pasukan
Usahawan perlu kawal selia staf untuk pastikan semuanya mengikut perancangan. Apa yang usahawan boleh lakukan misalnya tetapkan KPI atau petunjuk prestasi kepada setiap ahli pasukan. KPI ini dapat menentukan prestasi staf anda. Ambil contoh daripada perniagaan dropship perlulah monitor aktiviti dan jualan yang dilakukan ahli pasukan yang dilantik. Dengan cara ini dapat memantau target jualan yang ditetapkan.
#7 Tidak Tambah Baik atau Tukar Marketing Funnel
Marketing funnel berbeza untuk setiap aspek. Silapnya usahawan sering mengamalkan konsep pukul rata dalam melakukan marketing funnel. Sebetulnya ia perlu dilakukan mengikut kategori yang berbeza. Di dalam melakukan pemasaran teknik pengiklanan tidak boleh diaplikasikan kepada semua perkara. Misalnya lakukan ia mengikut demografi, persaingan atau USP yang berbeza dan lebih berfokus.
#8 Takut Membuat Pelaburan
Takut rugi. Inilah yang selalu ditakuti khususnya oleh usahawan baru yang pada peringkat awal terlibat di dalam bisnes. Mindset gerun untuk melabur modal adalah merasakan duit habis, sales tiada. Walaupun risikonya tetap ada tetapi lagi tinggi pelaburan semakin tinggi pulangan. Jangan kedekut, jangan guna modal ciput.
#9 Gunakan USP Yang Sama
USP atau unique selling proposition berfungsi untuk menarik minat pelanggan untuk membeli produk atau menggunakan servis yang ditawarkan. Walaupun pesaing meniru namun jika USP kita kekal unik pasti tidak timbul masalah. Sentiasa fikir jalan untuk membuat perubahan pada USP. Sedikit panduan, USP perlulah mudah, jimat, efektif, lengkap dan terjamin. Sebagai contoh syarikat Starbucks menjanjikan USP akan menyediakan kopi premium yang berkualiti kepada pelanggan. USP lah yang membezakan keunikan anda dengan pesaing dalam pasaran.
Melakukan bisnes ini seperti roda kerana ada turun naiknya, ada manis pahitnya. Dugaan dan masalah akan sentiasa ada. Tetapi dengan perancangan, persediaan, berfikir secara bijak dan matang pasti tidak ada masalah besar untuk berhadapan cabaran besar sekalipun. Usahawan perlu kekal konsisten dalam tindak tanduk mereka agar bisnes sentiasa bergerak maju dan bukannya stuck di tahap sama.