BAGI anda yang bergelar pelajar pusat pengajian tinggi, minggu peperiksaan akhir merupakan minggu paling kritikal.
Pelbagai kerja kursus, kertas kerja dan ulang kaji yang perlu dibuat, tentunya memberi kesan emosi terhadap pelajar dan boleh menyebabkan tekanan.
Justeru, tidak hairanlah, ada pelajar yang memerlukan cara yang membolehkan mereka melepaskan tekanan perasaan dengan cara yang sihat.
Salah satu caranya? Menangis.
University of Utah di Amerika Syarikat mewujudkan sebuah bilik khas di luar perpustakaannya, khusus untuk tujuan itu.
Seorang yang dipercayai penuntut di universiti itu, turut memuat naik gambar bilik berkenaan ke media sosial:
Bilik itu dibina oleh seorang pelajar tahun akhir jurusan seni halus, Nemo Miller.
Bilik sementara itu mempunyai pintu kecil, dan di dalamnya, diletakkan lapisan kain gelap dan permukaan lantai yang penuh dengan boneka comel seperti patung anak beruang.
Alat penetap masa diletakkan di bahagian dalam, dan dua lampu memberikan suasana cahaya yang suram.
“Ruang ini bertujuan untuk menyediakan tempat bagi pelajar-pelajar merehatkan fikiran selama 10 minit,” itu yang ditulis pada nota yang ditampal pada pintu.
Portal berita Fox13 melaporkan, ia kini menjadi tempat untuk pelajar masuk dan menangis, sebelum kembali mendapat tenaga menghabiskan tugasan dan ulang kaji.
Pelajar yang mahu menggunakan bilik itu bagaimanapun perlu mematuhi beberapa peraturan, antaranya mengetuk pintu terlebih dahulu, masuk bersendirian dan berada dalam bilik itu selama 10 minit sahaja.