Peningkatan jumlah usahawan kraf yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia sehingga Ogos lalu menyaksikan seramai 5,504 pengusaha kini bergiat aktif dalam industri berkenaan dengan 1,686 daripada jumlah tersebut merupakan usahawan kraf tekstil manakala 666 daripadanya pula ialah usahawan batik.
Senario ini secara tidak langsung telah merancakkan nilai jualan kraf batik ke tahap yang lebih tinggi apabila produk tekstil usahawan batik diiktiraf industri kraf negara sebagai paling dominan dengan catatan jualan sepanjang Januari hingga Ogos lepas berjaya mencecah RM108 juta.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail berkata, kerjasama agensinya bersama-sama Sirim Berhad dan Jabatan Standard Malaysia membangunkan Standard Malaysia MS 692 Batik Malaysia diharap mampu mencetus ilham serta kudrat usahawan batik untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti mengikut piawaian ditetapkan.
“Dengan adanya pengiktirafan dan pengujian kualiti batik Malaysia, kita harap ia boleh diterima secara terbuka oleh semua usahawan batik seluruh negara bagi mengukuhkan industri kraf tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Pematuhan Standard 692 Batik M alaysia di Pusat Inovasi Kraf Batik Kota Bharu, baru-baru ini.