Usahawan Bumiputera di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) harus lebih berani dan bijak dalam menerokai pasaran baru bagi meningkatkan prestasi perniagaan mereka. Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Pengerusi MARA berkata bagi menempuhi Revolusi Perindustrian 4.0, usahawan bumiputera tidak seharusnya fokus untuk menghasilkan satu produk sahaja malahan mereka harus menerima cabaran dan terus berusaha bagi menghasilkan pelbagai produk dan perkhidmatan mereka. Menurut beliau, MARA mahu usahawan di bawah selian MARA mempunyai kebolehan tersendiri, di samping itu juga MARA telah melakukan pelbagai pendekatan kepada mereka dengan memberi tumpuan kepada prestasi perniagaan usahawan, mewujudkan peluang perniagaan, promosi, penyediaan premis serta modal perniagaan.
MARA juga turut memberi perhatian kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang menghadapi masalah bagi menembusi pasaran terbuka terutama industri pembuatan serta pengeluaran. Dengan itu, MARA turut melaksanakan Program Pelancaran Produk Baharu dalam Pasaran bagi membangunkan industri tersebut dengan memberi informasi kepada pelanggan atau bakal pelanggan berkenaan produk mereka.