Setiap manusia diberi hak sama untuk hidup, udara sama untuk dihirup, jumlah putaran masa sama untuk digunakan mahupun langit sama untuk dijunjung. Menjadi salah seorang daripada orang kelainan upaya (OKU) bukanlah menjadi kesalahan, apatah lagi malu dengan kecacatan diri sendiri, tokoh-tokoh usahawan OKU ini membuktikan mereka lebih hebat daripada orang biasa yang lengkap fizikal tetapi tidak lengkap semangat juangnya.
Semoga tokoh usahawan oku ini menjadi inspirasi kepada kita untuk berjaya seperti mereka.
# 1- Syukri Ibrahim , Syarikat D Strike Solution Sdn. Bhd
Kerdil tetapi semangatnya setinggi awan, sehingga berjaya menubuhkan Syarikat D Strike Solution Sdn. Bhd.
Pemenang Anugerah OKU Cemerlang Kebangsaan (Keusahawanan) ini menjalankan bisnes perkhidmatan membekal dan memasang permaidani ‘wall-to-wall’ untuk masjid, pejabat dan lain-lain sejak 2010.
Pernah gagal 3 kali, perniagaan membekal dan memasang karpet yang dijalankan sekarang merupakan perniagaan ke-4 yang berjaya sehingga sekarang.
Pengurusan kewangan yang lemah, perbelanjaan melebihi pendapatan, terikut-ikut dengan kononnya ‘luxury lifestyle’ dan cetek ilmu tentang keusahawanan merupakan punca kegagalan perniagaan sebelumnya.
Bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini juga merupakan seorang penceramah motivasi dan penasihat kewangan.
# 2 – Lee Thiam Wah, 99Speedmart Sdn. Bhd
Dilahirkan pada tahun Naga, kepercayaan orang Cina mereka yang lahir pada tahun ini merupakan orang-orang berkuasa yang akan menjalani kehidupan luar biasa. Lee Thiam Wah, jutawan 99Speedmart yang hanya berkerusi roda tetapi mampu tersenyum melihat rekod keewangan syarikatnya kini hasil kerja kerasnya selama ini.
Cepat dan mudah merupakan slogan yang memberi seribu makna kepada pembeli setia Kedai 99Speedmart. Saban hari 99Speedmart mendapat tempat di hati orang ramai yang semakin terhad wang perbelanjaan kerana 99 Speedmart menawarkan harga runcit yang lebih murah dari pasaran semasa.
Ketika berusia 23 tahun, Lee memulakan perniagaan kedai runcit dengan wang simpanan RM5,000. Kini, beliau memiliki lebih 2OO buah cawangan 99Speedmart di seluruh Malaysia.
Beliau telah berjaya menubuhkan 8 pasar mini di sekitar bandar Klang, Selangor pada hujung tahun 1990an walaupun ketika kegawatan ekonomi negara.
Lee berkerusi roda semenjak kecil. Sewaktu bayi, Lee lumpuh disebabkan polio dan hilang fungsi kakinya. Bapanya seorang buruh pembinaan dan ibunya seorang penjaja, mereka bekerja keras untuk menyara 11 anak.
Mereka cuma mampu menyediakan pendidikan peringkat sekolah rendah kepada Lee. Untuk menghilangkan rasa sunyi, Lee belajar sendiri dengan membaca buku yang dipinjam dari jiran, dan menjual makanan ringan serta snek ditepi jalan.
# 3 – ZHARIFF AFANDI, Syarikat The Zhariff Initiative (TZI) Sdn Bhd
Penerima Anugerah Belia Perdana 2011 ini merupakan pemilik syarikat Syarikat The Zhariff Initiative (TZI) Sdn Bhd.
Peranan Zhariff Initiative bertujuan memupuk dan membangunkan nilai-nilai sosial yang bertanggungjawab untuk agensi korporat, kerajaan, institusi akademik dan pertubuhan lain.
Pernah beberapa kali gagal dalam menempatkan diri berkerja di syarikat tempatan, Zhariff yang merupakan lulusan luar negara bertekad untuk membuka syarikat sendiri bagi membuktikan keupayaan dan kebolehan yang dimiliki walaupun kekurangan fizikal.
#4- Ruzimi Mohamed, Syarikat Imi Creative Solution Sdn. Bhd
Pemilik Syarikat Imi Creative Solution Sdn. Bhd ini merupakan seorang usahawan yang kreatif dan inovatif.
Anak kelahiran Kampung Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan itu telah mencipta motosikal roda tiga berkuasa bateri yang dinamakan Imi Creative Car (ICC) bagi kegunaan OKU dan warga emas pada masa akan datang.
Projek yang menelan kos RM25,000 itu dilengkapi aplikasi teknologi hijau iaitu menggunakan bateri untuk menggerakkannya.
Syarikatnya menyediakan perniagaan pembangunan laman web, kursus motivasi dan teknologi maklumat manakala Embroidry Teknologi menyediakan perkhidmatan jahitan dan sulaman.