KUALA LUMPUR: Senator Dewan Negara, Yusmadi Yusoff dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara.
Lantikan itu dibuat sebulat suara oleh semua senator di Dewan Negara pada Rabu.
Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau itu menjadi senator Dewan Negara pada Ogos lalu.
Selain Yusmadi, dua belas lagi anggota jawatankuasa turut dilantik.
Antaranya, Datuk Seri Khairuddin Samad, Khairul Azwan Harun, Datuk Seri Ti Lian Ker, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, dan Datuk Theodore Douglas Lind.
Memetik laporan Bernama, jawatankuasa kerja itu ditubuhkan untuk tujuan menambah baik institusi berkenaan.
Menurut Yusmadi, penubuhannya hasil perbincangan sesama anggota jawatankuasa itu dan mendapat perkenan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran.
Antara perkara yang akan dicadangkan bagi reformasi Dewan Negara ialah mengangkat kebebasan Dewan Negara seperti diperuntukkan Perlembagaan dan memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai fungsi institusi itu.